Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap langkah pendakwaan ke atas hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Sabah yang terlibat dalam kes rasuah berhubung lesen penerokaan di negeri itu.
Menurutnya, tindakan mendakwa hanya Adun Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandi, dan Adun Sindumin, Yusof Yacob menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan kesungguhan pihak berkuasa dalam memerangi rasuah.

“Macam tidak ada ummmph apabila hanya dua individu ini yang didakwa.
“Apakah mereka mempunyai kuasa penuh meluluskan lesen cari gali?” soal Puad dalam satu kenyataan, sambil menyifatkan langkah tersebut sebagai “anti klimaks”.
Pendakwaan yang dipersoal
Kedua-dua Adun berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu semalam. Andi, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, didakwa menerima wang tunai RM150,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei sebagai balasan membantu permohonan lesen penerokaan oleh syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Manakala Yusof, pengerusi Qhazanah Sabah, pula dituduh menerima RM200,000 daripada Tei di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, dipercayai berkaitan lesen bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.

Albert Tei, yang dikenalpasti sebagai pemberi maklumat dalam kes ini, turut berdepan dua pertuduhan menawarkan rasuah.
Naratif lemah, kerajaan jadi defensif
Puad turut menyatakan bahawa tindakan mendakwa hanya dua individu ini memberi gambaran seolah-olah ada usaha untuk “memenuhi kuota pendakwaan”, terutama apabila diketahui bahawa kedua-duanya mungkin tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
"Semoga ini bukan satu permainan persepsi untuk memastikan ada ‘orang’ didakwa, sementara yang lain yang mungkin lebih berkuasa terlepas,” tegas beliau.
Menurut Puad, pendekatan ini bukan sahaja merosakkan naratif kerajaan dalam usaha memerangi rasuah, malah meletakkan pentadbiran dalam kedudukan defensif apabila timbul persoalan mengapa hanya dua individu terlibat didakwa, sedangkan lesen cari gali memerlukan kelulusan pihak yang lebih tinggi.
Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, semalam, Albert berkata dia akan terus berjuang dan mendedahkan lebih banyak penyelewengan selepas menghadapi pertuduhan memberi rasuah.
Katanya, dia masih menyimpan banyak bukti yang tidak dijangka dan tidak akan gentar menghadapi proses undang-undang yang panjang.
Pada hujung minggu lalu, beberapa bukti tambahan muncul yang dikatakan mengaitkan enam lagi ahli politik dalam skandal perlombongan di Sabah.
Antara yang didakwa terlibat ialah pemimpin tertinggi parti Star dan PBS, iaitu komponen utama kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden Star, Jeffrey Kitingan, dan Timbalan Presiden PBS, Jahid Jahim, masing-masing menafikan tuduhan yang dikaitkan dengan mereka.

Bercakap kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, semalam, Albert turut meluahkan rasa kecewa kerana hanya dua ahli politik didakwa meskipun telah menyerahkan pelbagai bukti, termasuk yang mengaitkan beberapa menteri Sabah dan Speaker DUN kepada SPRM.
"Ikan bilis dah ditangkap dan dituduh, bagaimana dengan jerung-jerung yang tertinggal?
"Dua orang saja dituduh, bagaimana dengan tujuh orang lain terutamanya ketua menteri Hajiji Noor.
"Saya dah serah bukti kepada SPRM, malah yang lain-lain YB yang belum dituduh termasuk menteri, speaker, semua, itu bukti lagi kukuh.
"Adakah dua orang (ahli politik yang didakwa) ini kabel tak kuat?" katanya sambil menambah bahwa dia telah memberi kerjasama kepada SPRM sejak Oktober tahun lalu.

GRS jamin tidak campur tangan
Semalam, mengulas kes pendakwaan tersebut, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kerajaan negeri akan meneliti kedudukan kedua-dua pemimpin terbabit, dan menegaskan komitmen terhadap integriti pentadbiran.
“Kami menghormati undang-undang dan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya,” katanya, sambil menegaskan bahawa pentadbiran GRS tidak akan campur tangan dalam siasatan mahupun proses mahkamah.