malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Debat aktivis mahasiswa dengan Akmal ditangguh
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM
ADS

Debat antara Dr Akmal Saleh dengan aktivis mahasiswa yang dijadualkan malam ini ditangguhkan susulan keadaan kesihatan ayah Ketua Pemuda Umno itu.

Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diambil atas dasar kemanusiaan dan tanda solidariti bagi memberi ruang kepada Akmal bersama keluarga pada waktu kritikal.

"Merujuk kepada perkembangan semasa yang melibatkan keadaan kesihatan ayah kepada ketua Pemuda Umno saudara Akmal Saleh, pihak Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 2.0 (SRBR) telah membuat keputusan untuk menangguhkan sesi debat yang telah dijadualkan sebelum ini.

"Penangguhan ini dibuat atas dasar kemanusiaan dan solidariti, serta bagi memberi ruang sepenuhnya kepada saudara Akmal untuk bersama keluarga beliau dalam waktu yang mencabar ini.

"Tarikh baru bagi debat tersebut akan dimaklumkan kemudian setelah keadaan mengizinkan dan setelah perbincangan semula dilakukan bersama pihak saudara Akmal," kata kenyataan itu.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, debat yang dijadualkan berlangsung antara Akmal dan aktivis mahasiswa masih belum dapat disahkan selepas bapa ketua pemuda Umno itu dilaporkan nazak.

Dalam satu kenyataan malam ini, sekretariat itu berkata, mereka menghormati situasi tersebut dan akan memberi ruang kepada Akmal untuk menumpukan perhatian kepada keluarganya.

Debat tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung 9 malam ini di Rumah Mandiri, Petaling Jaya, dengan Akmal dijadual bersemuka dengan aktivis mahasiswa Fakrurrazzi Khairur Rijal dalam debat bertajuk “Demonstrasi Bakar-Membakar: Bebal atau Berakal.”

Akmal mencabar kumpulan mahasiswa berkenaan berdebat susulan satu protes yang berlangsung di Sabah pada 22 Jun lalu yang berakhir dengan tindakan membakar poster Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bersama kata-kata “Madani Pelindung Perasuah Sabah.”

Sementara itu, SRBR mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menunjukkan minat terhadap sesi debat itu.

“SRBR tetap komited untuk meneruskan wacana terbuka dan bertanggungjawab demi mendidik rakyat serta memperkukuh demokrasi.

"Segala maklumat rasmi dan terkini akan disalurkan terus melalui saluran komunikasi SRBR," kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen