malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Letupan Putra Heights: Petronas masih perlu bertanggungjawab - bekas menteri
Diterbitkan:  Jul 1, 2025 10:03 AM
Dikemaskini: 4:55 AM
ADS

Penemuan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bahawa kebakaran di Putra Heights yang berpunca daripada ketidakstabilan tanah tidak membebaskan Petronas daripada liabiliti atas kejadian itu, kata bekas menteri alam sekitar Yeo Bee Yin.

Walaupun bersetuju dengan penilaian JKKP bahawa tiada unsur sabotaj atau niat jenayah, Yeo - yang pernah bekerja sebagai jurutera lapangan dalam industri minyak dan gas - tidak bersetuju bahawa tiada kecuaian yang boleh dipertanggungjawabkan.

“Sebagai pemilik saluran paip itu, Petronas sepatutnya memastikan semua aset mereka diselenggara dalam keadaan baik.

"Keadaan bawah tanah tidak seharusnya menjadi alasan untuk kegagalan struktur berskala besar dengan magnitud ini.

"Oleh itu, Petronas perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerugian akibat kebakaran Putra Heights," kata Ahli Parlimen Puchong itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kebakaran yang melibatkan saluran gas Petronas pada 1 April menyaksikan api menjulang lebih 30m ke udara, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengubah landskap sekitar menjadi kawah besar.

Semalam, JKKP berkata paip terbabit tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di sekelilingnya berikutan beban kitaran menyebabkan kelemahan pada sambungan kimpalan yang pecah dan mencetuskan kebakaran.

Bencana itu memusnahkan 81 rumah dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 lagi rosak sebahagiannya. Lima puluh tujuh rumah terjejas tetapi tidak terbakar.

Yeo berkata walaupun pelbagai bentuk bantuan kewangan diberikan kepada mangsa, ia tidak mencukupi untuk mengimbangi kerugian fizikal, mental dan psikologi yang mereka alami.

“Saya menyeru Petronas untuk menerima tanggungjawabnya dan memberikan pampasan penuh kepada semua mangsa kebakaran Putra Heights, mencerminkan kerugian sebenar mereka.

"Selain itu, Petronas perlu segera menjalankan penilaian struktur menyeluruh ke atas keseluruhan rangkaian saluran paip gas Semenanjung sepanjang 2,623 km bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi," katanya.

Langkah keselamatan Petronas gagal

Sementara itu, NGO alam sekitar RimbaWatch menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat Petronas dan agensi kerajaan yang berkaitan kerana cuai dalam memantau saluran paip gas dan memastikan keselamatannya.

Dalam satu kenyataan, ia menimbulkan persoalan berhubung laporan JKKP yang mendapati tiada unsur kecuaian dalam letupan 1 April.

Menurut RimbaWatch, Petronas sebelum ini telah mengiklankan bahawa saluran paip mereka dipantau dan dikawal sepanjang masa, dan mereka dapat menentukan lokasi yang tepat sekiranya berlaku sesuatu.

"Memandangkan mendapan itu berlaku dalam tempoh yang lama, mengapa pelbagai langkah keselamatan Petronas, seperti kaedah 'pigging', pemeriksaan udara dengan helikopter, pengawasan darat, dan teknologi canggih yang didakwa seperti PiriGIS (Sistem Maklumat Geografi PETRONAS Masa Nyata), gagal dalam mengesan kejadian penurunan tanah yang begitu ketara?" soalnya.

Tambahnya lagi, NGO itu menegaskan bahawa Petronas telah mengalami isu keselamatan yang serius dengan mendapan saluran paip pada masa lalu.

Ia termasuk sekurang-kurangnya empat letupan dan pelbagai kebocoran yang melibatkan Talian Gas Sabah-Sarawak (SSGP) Petronas sejak 2014, yang kebanyakannya dikaitkan dengan mendapan tanah, kata RimbaWatch.

“Memandangkan SSGP mengalami pelbagai letupan dan kebocoran daripada mendapan tanah yang membawa kepada Insiden Putra Heights, adakah Petronas tidak melaksanakan pemantauan mendapan yang lebih ketat, terutamanya untuk bahagian saluran paip di kawasan berisiko tinggi?

“Memandangkan, di bawah undang-undang sedia ada, pengendali saluran paip boleh dipertanggungjawabkan ke atas kerosakan berkaitan pembinaan dan pengendalian saluran paip, bagaimana kegagalan Petronas dalam perancangan dan pemantauan Saluran Paip PGU tidak dianggap kecuaian?

"Selanjutnya, selain pengendali, patutkah kecuaian merangkumi banyak agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang juga bertanggungjawab memantau dan menyampaikan risiko geologi dan alam sekitar kepada pengendali saluran paip, serta mengawasi pengendali saluran paip?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen