Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno semalam menegaskan betapa tiada kewajaran untuk parti-parti dalam kerajaan perpaduan mengambil mana-mana ahli di kalangan parti-parti dalam gabungan.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan media selepas mesyuarat itu berkata ini bagi mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan.
Walaupun tidak menyebut nama mana-mana individu, perkara itu dipercayai merujuk menyertaan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam PKR, baru-baru ini.
Pada 30 Mei lalu, Zafrul mengumumkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Umno dan memutuskan untuk menyertai PKR.
Ini mencetuskan semula spekulasi bahawa Zafrul mungkin bertanding di kerusi DUN di Selangor melalui pilihan raya kecil (PRK).
Ahli Dewan Negara itu bagaimanapun menafikan spekulasi berkenaan.
Sementara itu, MKT Umno semalam memutuskan bahawa ia boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti.
Perkara itu dipercayai merujuk kepada isu penggantungan bekas naib presidennya, Hishammuddin Hussein.
“(Perkara itu) selaras dengan Perlembagaan Umno Fasal 20.12,” kata dalam kenyataan media selepas mesyuarat MKT di Kuala Lumpur, malam tadi.
Umno Bahagian Sembrong baru-baru ini mencadangkan agar penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik balik, sejajar dengan usaha memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata MKT boleh mempertimbangkan untuk menarik semula penggantungan Hishammuddin, walaupun Ahli Parlimen Sembrong itu tidak mengemukakan sebarang rayuan.
Dia turut mengingatkan bahawa MKT tidak akan menggantung atau memecat mana-mana ahli melainkan kesalahan telah dikenal pasti.