Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 ditangguhkan ke hujung November bagi membolehkan parti itu membuat persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diadakan malam tadi menetapkan tarikh baru PAU 2025 pada 26 hingga 29 November.
“Tarikh PAU 2025 telah dipersetujui untuk ditunda kepada 26hb hingga 29hb Nov 2025, mengambil kira persiapan menghadapi PRN Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan di Kuala Lumpur.
Umno pada asalnya dijadualkan mengadakan PAU 2025 pada 20 hingga 23 Ogos.
Penangguhan PAU 2025 itu sekali gus memberi isyarat PRN Sabah semakin dekat, memandangkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu akan tamat pada 11 Nov.
Sementara itu Asyraf berkata Umno akan melaksanakan kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan.
“(Ia) termasuklah pencapaian kepimpinan Umno dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Umno turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu dan Perak dalam membantu pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang turut meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).