malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Blok Ambalat: PAS dakwa persetujuan kerajaan tergesa-gesa
Diterbitkan:  Jun 30, 2025 8:33 PM
Dikemaskini: 12:33 PM
ADS

PAS mendakwa Putrajaya sekali lagi mengejutkan rakyat negara ini apabila secara tergesa-gesa bersetuju memulakan pembangunan bersama dengan Indonesia di blok Ambalat iaitu kawasan perairan yang belum dimuktamadkan sempadan maritimnya dan menjadi pertikaian sejak berdekad lalu.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan itu adalah suatu bentuk sikap longgar dan tidak bertanggungjawab kerajaan mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

“Menurut kenyataan perdana menteri di Jakarta, perjanjian ini dibuat atas alasan kononnya isu sempadan boleh mengambil masa ‘hingga dua dekad’ untuk diselesaikan, maka tidak perlu menunggu lagi untuk memulakan kerjasama ekonomi.

“Sedangkan dalam kenyataan rasmi Petronas yang dilaporkan The Edge pada 17 Jun lalu, syarikat itu sendiri menyatakan akan menghormati moratorium dan tidak akan melaksanakan sebarang aktiviti sehingga mendapat kelulusan penuh daripada kerajaan Malaysia.

“Malangnya, kerajaan nampaknya lebih ghairah menandatangani persetujuan dengan negara jiran berbanding menjelaskan kepada rakyat sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dilaporkan bersetuju untuk menyelesaikan isu sempadan dengan penyelesaian yang akan menguntungkan kedua-dua pihak, termasuk konflik membabitkan blok Ambalat di Laut Sulawesi.

Ahmad Fadhli Shaari

Dalam kenyataan bersama, Prabowo dilaporkan berkata Malaysia dan Indonesia sepakat bahawa masalah di sempadan berkenaan masih memerlukan waktu untuk diselesaikan secara teknikal.

“Tapi (secara) prinsipnya, kita sepakat untuk mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak.

“Contoh, masalah (di blok) Ambalat, kita sepakat bahawa sambil kita saling menyelesaikan masalah-masalah perundangan, kita sudah mahu mulakan dengan kerjasama ekonomi yang kita sebut joint development.

"Apa pun yang kita temukan di laut itu kita akan bersama-sama mengeksploitasinya,” katanya dipetik laporan Kompas.com pada Jumaat lalu.

Minta jaminan negara tak rugi

Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia dan bertemu rakan sejawatannya pada hari berkenaan.

Blok Ambalat - yang dituntut Jakarta dan Kuala Lumpur - meliputi kawasan seluas 15,235 kilometer persegi dan terletak di Laut Sulawesi atau Selat Makassar yang dikatakan mempunyai potensi simpanan minyak serta gas yang boleh dieksploitasi untuk tempoh berpuluh-puluh tahun.

Sengketa blok Ambalat bermula pada Ogos 1969 apabila Malaysia menggubal Ordinan Kuasa-Kuasa Penting (Essential Powers Ordinance) yang menetapkan sempadan laut negara adalah sejauh 12 batu nautika dari garis dasar.

Penetapan ini dibuat melalui penarikan garis dasar selaras dengan ketetapan Konvensyen Undang-undang Laut 1958 berkaitan Laut Wilayah dan Zon Bersebelahan (Contiguous Zone).

Berdasarkan peraturan tersebut, Malaysia secara sepihak mengeluarkan Peta Malaysia 1979 pada 21 Dis 1979. Pada bulan sama, Kuala Lumpur menerbitkan peta baru yang memperluaskan tuntutan maritim di Laut Sulawesi.

Peta itu menggabungkan kawasan dasar laut sebagai sebahagian daripada wilayah Malaysia. Indonesia merujuk kawasan tersebut sebagai blok Ambalat.

Kuala Lumpur berpendirian bahawa setiap pulau berhak mempunyai laut wilayah, zon ekonomi eksklusif (ZEE), dan pelantar sendiri.

Bagaimanapun, penerbitan Peta Malaysia 1979 bukan sahaja mencetuskan bantahan daripada Jakarta, malah dilaporkan turut ditolak oleh beberapa negara lain, termasuk Filipina, Singapura, Thailand, China, dan Vietnam.

Negara terbabit menganggap tindakan Malaysia adalah cubaan peluasan wilayah secara berlebihan.

Ahmad Fadhli berkata tindakan membawa masuk Petronas dan Pertamina ke meja “eksploitasi bersama” tanpa sempadan yang jelas adalah sangat membimbangkan.

Lebih parah, dakwa Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, perkara tersebut diumumkan di Jakarta tanpa sebarang perbahasan di parlimen, tanpa makluman kepada wakil rakyat, dan tanpa satu pun dokumen didedahkan kepada umum.

“Adakah kerajaan beranggapan bahawa hasil negara ini boleh dirunding sesuka hati tanpa mandat rakyat?

“Apakah jaminan Malaysia tidak sedang melepaskan haknya sedikit demi sedikit di meja rundingan?

"Apakah jaminan struktur agihan hasil dan kawalan operasi tidak merugikan kita dalam jangka panjang?” katanya.

Ahmad Fadhli mendakwa, rakyat Malaysia sedang berdepan dengan kerajaan yang sanggup mengorbankan prinsip kedaulatan atas nama persepsi diplomasi.

“Jika moratorium pun tidak dihormati secara konsisten, apa lagi yang akan tergadai selepas ini? Rakyat berhak tahu.

“Parlimen wajib diberi ruang untuk menyemak dan membahas segala perjanjian ini secara terbuka. Kedaulatan negara bukan bahan rundingan tergesa-gesa di luar negara.

"Jangan ulangi kesilapan yang akan menjadi liabiliti besar kepada generasi akan datang,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen