Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam penubuhan sebuah pusat kesihatan yang dinamakan Maha Klinik, satu nama yang mencetuskan nostalgia kepada zaman awal perjuangannya sebagai seorang doktor.
Menurut Mahathir, walaupun nama pusat kesihatan tersebut mengingatkan ramai kepada Klinik Maha yang pernah diasaskannya, bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu menafikan sebarang kaitan dengan penubuhan pusat kesihatan di Puncak Alam itu.
Malah katanya, dia juga tidak pernah mendaftarkan nama klinik asalnya sebagai tanda dagangan bagi membuka ruang pelbagai pihak menggunakan nama itu atas semangat untuk berbakti kepada masyarakat.
“Sebenarnya sudah ada banyak tempat-tempat yang menggunakan nama Maha Klinik ini dan saya pun tak tahu mereka menggunakan nama itu (sempena nama saya).
“Tapi saya nak jelaskan di sini bahawa saya tidak ada kepentingan apa-apa dalam pusat kesihatan ini. Saya bukan pelabur, bukan pemegang saham dalam pusat (kesihatan) ini.
“Saya bersetuju (klinik ini menggunakan nama tersebut) sebagai pusat khidmat ini kerana masyarakat kita serba kekurangan dan memerlukan bantuan pihak tertentu, “katanya ketika berucap di majlis pelancaran pusat kesihatan berkenaan di Puncak Alam, Selangor, hari ini.
Klinik terbabit diusahakan oleh bekas Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli bersama rakan kongsinya, dengan mengambil kira keperluan penduduk Puncak Alam yang sebelum ini kurang mendapat akses kepada pusat kesihatan awam.
Dalam pada itu Mahathir berkata, walaupun nama klinik tersebut menyerupai nama kliniknya, namun ia bukan bertujuan untuk mencari keuntungan, sebaliknya adalah satu inisiatif sosial.
“Saya yakin tujuan khidmat ini bukanlah untuk mencari keuntungan yang besar tetapi untuk memberi khidmat khususnya kepada rakyat yang memerlukan kerana ia adalah satu keperluan masyarakat,” katanya lagi.
Perdana menteri dua kali itu turut menyeru agar lebih banyak pihak termasuk sektor swasta berganding bahu menyediakan perkhidmatan seumpama itu di kawasan yang kurang mendapat akses kepada khidmat kesihatan.
“Insya-Allah, dengan adanya khidmat seperti ini, masyarakat akan menjadi lebih baik dan dapat rawatan yang diperlukan,” katanya lagi.
Klinik Maha merupakan klinik Melayu swasta pertama di Kedah, ditubuhkan oleh Mahathir pada 1957.
Klinik itu kemudian berpindah ke pusat bandar pada 1980, kira-kira setahun sebelum Mahathir dilantik sebagai perdana menteri keempat.
Bagaimanapun ia diambil alih oleh Dr Mohamed Yacob Dawood selepas Mahathir berhijrah ke Kuala Lumpur
Terdahulu, Mahathir hadir merasmikan pelancaran MAHA Klinik di Puncak Alam, Selangor.