Di tengah kontroversi hantaran Facebook yang didakwa berbaur rasis, Zaharudin Muhammad kekal memegang jawatan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Sungai Buloh.
Dalam mesyuarat agung tahunan dan pemilihan PAS Kawasan Sungai Buloh itu, Zaharuddin yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding.
Perkara itu disahkan Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan.
“Alhamdulillah mesyuarat PAS Kawasan Sungai Buloh berjalan dengan baik dan barisan top three pimpinan PAS kawasan menang tanpa bertanding.
“Ustaz Zaharudin kekal sebagai YDP. Kita (Kami) semua bersetuju sebulat suara mengekal kepimpinan sebelum ini.
"Cuma berlaku perubahan di peringkat ahli jawatankuasa,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Mesyuarat tersebut dirasmikan ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Terdahulu Zaharudin mencuri tumpuan selepas dilihat menyindir pengurniaan pangkat leftenan jeneral kepada Johnny Lim Eng Seng oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Lim menjadi anggota tentera Cina pertama diberikan pangkat tersebut.
Dalam hantarannya di media sosial Zaharuddin memberi bayangan Malaysia mempunyai perdana menteri bukan Melayu menjelang tahun 2058, sambil mengepilkan gambar pelantikan Lim.
Dia membayangkan bahawa ibu bapa 'perdana menteri' terbabit memperoleh kewarganegaraan melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) selepas membeli kondominium di Kampung Sungai Baru 23 tahun lalu.
Susulan itu, beberapa pemimpin kerajaan khususnya daripada DAP menyelar tindakan itu, malah terdapat laporan polis dibuat terhadap Zaharudin.

Zaharudin dalam catatan Facebook berasingan kemudiannya menafikan dia mempersoal pelantikan Lim, sebaliknya mendakwa bahawa catatan terbabit bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang MM2H.
Menurutnya, warga asing akan membeli hartanah dan menetap di Malaysia, dan apabila ada kelahiran, mereka mungkin memohon kewarganegaraan dan akhirnya menuntut hak untuk mengundi.
"Jika orang asing masuk (Malaysia) secara terancang, seperti Zionis di Palestin, maka tidak mustahil pada 2058, perdana menteri akan menjadi anak kepada orang asing itu," katanya.