malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Letupan Putra Heights: Tanah lemah dan lembap jadi punca - DOSH
Diterbitkan:  Jun 30, 2025 6:24 PM
Dikemaskini: 11:09 AM
ADS

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia hari ini mendedahkan bahawa keadaan tanah yang lemah dan lembap di bawah saluran paip menjadi punca utama insiden kebocoran dan kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya, pada 1 April lalu.

Pejabat Ketua Pengarah DOSH dalam kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah (unsupported segment) yang dikenal pasti lembut dan lembap.

“Ini mengakibatkan kegagalan fizikal (physical failure) pada bahagian paip di lokasi kejadian, menyebabkan kebocoran gas yang kemudian terbakar.

"Tanah yang lemah ini menyebabkan paip bergerak berulang kali (cyclic loading), yang menimbulkan tekanan berulang (stress lines) dan garis keletihan (fatigue striations) pada permukaan paip.

"Analisis metalografi menunjukkan tensile overload menjadi punca utama kegagalan. Kerosakan ini berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile (ductile failure) yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran, katanya.

Tambah DOSH, kegagalan paip disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup.

"Lokasi kegagalan ini bukan akibat aktiviti di permukaan tanah, tetapi kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong dengan baik," kata kenyataan itu.

Kebakaran saluran paip gas pada 1 April lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Tiada kematian dilaporkan akibat insiden itu namun 150 mangsa dirawat di hospital.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus.

Sebanyak 81 rumah separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen