malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahathir bimbang campur tangan politik dalam lantikan ketua hakim
ADS

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan pengumuman calon pengganti Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat. Dia turut mengingatkan agar proses pelantikan tersebut bebas daripada sebarang campur tangan luar.

Sambil mengakui perbezaan pandangan dalam kalangan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) merupakan perkara biasa, namun, katanya, sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara dalaman oleh suruhanjaya itu sendiri.

"Saya difahamkan ada pendapat berbeza-beza di kalangan suruhanjaya yang memilih hakim, jadi saya harap ia diselesaikan oleh suruhanjaya itu.

“Jangan ada campur tangan luar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Maha Klinik di Puncak Alam di Selangor, hari ini.

Mahathir turut menegaskan bahawa penglibatan pihak luar dalam menentukan pelantikan hakim tertinggi boleh menjejaskan integriti institusi kehakiman negara.

"Kalau daripada luar ada yang menentukan siapa jadi hakim, maka kita tak akan dapat hakim yang terbaik.

“Sebab itu kita beri tanggungjawab kepada suruhanjaya. Suruhanjaya mempunyai ahli yang cukup untuk menilai prestasi calon," katanya.

Dia juga menekankan keperluan melantik individu yang mempunyai pengalaman luas dalam badan kehakiman, bagi memastikan kelayakan dan kredibiliti setaraf dengan Tengku Maimun.

Hari terakhir perkhidmatan Tengku Maimun, 66, sebagai ketua hakim negara adalah pada Selasa ini dan mencapai usia persaraan wajib pada Rabu ini.

"Kalau seseorang itu tidak pernah jadi hakim, tidak pernah berada di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan, tiba-tiba dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, itu sesuatu yang tidak baik.

“Ketua Hakim seperti Tengku Maimun mempunyai pengalaman panjang, sebab itu keputusannya mudah diterima semua pihak," kata Mahathir sinis membayangkan ada individu dari luar yang mungkin dilantik mengisi kekosongan jawatan yang bakal timbul.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, tempoh perkhidmatan seseorang hakim boleh dilanjutkan selama enam bulan. Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menolak gesaan untuk melanjutkan perkhidmatan tersebut, dengan menyifatkannya sebagai cubaan mempolitikkan institusi kehakiman.

Selain Tengku Maimun, Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim juga dijadual bersara apabila mencapai umur persaraan wajib pada Rabu ini.

Persaraan mereka akan disusuli dalam bulan-bulan akan datang oleh beberapa lagi tokoh kanan kehakiman, termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, serta hakim Mahkamah Persekutuan — Nallini Pathmanathan, Zabariah Mohd Yusof, dan Hanipah Farikullah.

Tempoh perkhidmatan Abdul Rahman, Zabariah, dan Hanipah telah pun dilanjutkan selama enam bulan.

Mahathir sering dikritik kerana didakwa campur tangan dalam soal pelantikan hakim-hakim sepanjang dirinya berkuasa, termasuk mendalangi krisis kehakiman 1988.

Krisis pada 1988 itu melibatkan pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988 yang pada asasnya menghapuskan kebebasan badan kehakiman dan menjadikan mahkamah diletakkan di bawah undang-undang persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen.

Ia juga menyaksikan pemecatan kontroversi Salleh Abas sebagai Lord President (kini ketua hakim negara) dikatakan kerana suratnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang menentang pindaan itu.

Malaysiakini pada Dis lalu memetik profesor undang-undang perlembagaan Universiti Malaya Shad Saleem Faruqi yang berpendapat bahawa ketua hakim negara harus menjadi orang yang menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan kehakiman dan bukannya perdana menteri.

Dia turut mengesyorkan Akta JAC 2009 diletakkan di bawah Perlembagaan.

Namun, kata Shad, berdasarkan sistem ketika ini, perdana menteri tidak terikat dengan nasihat ketua hakim negara atau JAC mengenai nama-nama yang telah disenarai pendek untuk pelantikan hakim.

Jelasnya, meskipun terdapat banyak penambahbaikan yang dibawa oleh Akta JAC, perdana menteri mengekalkan kuasa mutlak untuk memilih nama-nama yang akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen