malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hajiji akan kaji kedudukan dua Adun dikaitkan dakwaan rasuah
Diterbitkan:  Jun 30, 2025 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM
ADS

Pentadbiran negeri Sabah akan mengkaji semula kedudukan dua pemimpin negeri selepas mereka didakwa atas kesalahan rasuah pagi tadi.

Perkara ini dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, beberapa jam selepas Pembantu Menteri Negeri, Andi Muhammad Suryady Bandi, dan Adun Sindumin, Yusof Yacob, dikenakan tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Hajiji Noor

“Berhubung kedudukan mereka dalam kerajaan sekarang, ketua menteri berkata dia akan meneliti perkara ini dengan teliti pada masa yang sesuai selepas menerima semua maklumat dan laporan berkaitan.

“Hajiji berkata kerajaan negeri GRS komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu hari ini, dilaporkan bahawa Andi, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, dituduh menerima wang tunai berjumlah RM150,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing – juga dikenali sebagai Albert Tei – sebagai habuan untuk membantu permohonan lesen penerokaan bagi Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.

Tei Jiann Cheing – juga dikenali sebagai Albert Tei

Adun Tanjung Batu itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 12 Mei 2023 di kediamannya di Jalan Pantai Sembulan, Kota Kinabalu.

Yusof, yang juga pengerusi Qhazanah Sabah, pula didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di Hotel Hilton di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023. Suapan itu didakwa bertujuan untuk membantu proses permohonan lesen penerokaan bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.

Tei, seorang ahli perniagaan dari Selangor dan juga pemberi maklumat dalam kes ini, turut didakwa atas dua pertuduhan menawarkan rasuah kepada wakil rakyat berkenaan.

Tambah Hajiji, kerajaan negeri akan menghormati proses undang-undang terhadap kedua-dua pemimpin itu dan menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah.

“Kami menghormati undang-undang, dan akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya.

“Kerajaan negeri GRS tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpinnya,” kata Hajiji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen