Daripada seteru yang sengit, Annuar Musa – yang kini bukan saja menjadi ahli PAS, malah diangkat oleh parti itu untuk menduduki jawatan penting – tampil membela wadah barunya yang dikritik oleh Khairy Jamaluddin.
Menurut bekas Setiausaha Agung Umno itu, ramai pihak melihat PAS “menggunakan kata maca musuh politik” seperti yang dialaminya sebelum ini.
Kata Annuar, ada pelbagai reaksi timbul ekoran pandangan diutarakan Khairy – terkait ‘rahsia’ PAS yang didakwanya berjaya membina ekosistem yang bermula dari awal hidup seseorang sehingga ke selepas mati.
Annuar yang kini menjadi salah seorang ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan timbalan pengarah pilihan raya parti itu, memang ada yang terguris hati dengan kenyataan dibuat Khairy.
Pun begitu, kata Annuar, dia menerima pandangan Khairy secara positif, malah melihatnya sebagai satu perkembangan yang baik apabila bekas ketua Pemuda Umno Malaysia itu dilihat cuba mengenali PAS.
Malah, tambah Annuar, sejak akhir-akhir in isemakin ramai penentang tegar PAS memberikan testimoni lebih positif terhadap parti berkenaan – seperti Dr Mahathir Mohamad, Zaid Ibrahim, Tengku Razaleigh dan generasi muda dari kalangan masyarakat Cina dan India.
“PAS sendiri terus merekayasa diri, menambah baik pendekatan tanpa mengorbankan pendirian yang istiqamah menegakkan Islam.
“Pas tidak bersifat in denial. Itu satu kekuatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ajak KJ minum kopi
Jika ada pandangan Khairy yang tidak tepat, kata Annuar, ia adalah lumrah berdasarkan latar belakang ahli politik terbabit yang kurang berpeluang melihat PAS secara bebas daripada sebarang prasangka.
“Ramai pemimpin yg masih menggunakan kaca mata musuh politik PAS termasuk saya sendiri satu ketika dulu, membuat rumusan yang tidak tepat mengenai PAS.
“Hari ini saya menemui jawapan kenapa Umno semakin lemah dan PAS semakin kuat dan terus kuat,” katanya lagi.
Berkenaan Khairy, Annuar berkata, dia yakin akan ada peluang untuk bekas menteri terbabit – sertai orang lain – untuk mengenali PAS dengan lebih dekat serta sudut pandang yang baru.
“Terima kasih KJ (Khairy) kerana lebih positif terhadap PAS. Ada masa boleh kita minum kopi bersama,” katanya.
Untuk rekod dalam audio siar Keluar Sekejap baru-baru ini, Khairy mendakwa PAS menyediakan sistem tarbiah yang bermula dari dunia sampai ke akhirat sehingga melahirkan penyokong yang taasub serta tidak kritikal.