malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Puad ingatkan Rafizi, jangan bakar lebih-lebih, kes boleh dicari
Diterbitkan:  Jun 30, 2025 3:39 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
ADS

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi mengingatkan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli bahawa kritikannya terhadap kerajaan boleh menyebabkan dia menghadapi pertuduhan mahkamah.

Dalam kenyataan di Facebook, Puad bertanyakan apakah kesudahan Rafizi dalam politik.

"Takut berakhir dalam penjara. Bakar menteri sudah, berhenti menteri pun sudah. Jangan bakar lebih-lebih. Kes boleh dicari," katanya.

Jumaat lalu, Rafizi mempersoalkan sama ada langkah kerajaan untuk menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) adalah reaksi tergesa-gesa susulan kritikan media sosial yang ditujukan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Pandan itu, yang mengosongkan jawatan kabinetnya berikutan kekalahannya pada pemilihan parti PKR, dipercayai merujuk kepada reaksi netizen berhubung siaran X yang memaparkan klip Fahmi yang menegaskan bahawa RMK13 adalah "usaha berpasukan" dan bukan produk mana-mana individu atau kementerian.

Fahmi, yang juga ketua penerangan PKR, mengundang kritikan terhadap kenyataannya, dengan beberapa pengguna menekankan bahawa walaupun rancangan itu memang melibatkan pelbagai kementerian lain, Kementerian Ekonomi di bawah pimpinan Rafizi telah mempelopori penggubalan dokumen itu.

Rafizi juga baru-baru ini melancarkan podcastnya "Yang Berhenti Menteri", yang dijanjikan akan melihatnya "bakar" dan "beri pencerahan" memandangkan kini dia tidak lagi terikat dengan etika dan kerahsiaan kerajaan.

Dalam kenyataannya, Puad menambah, dia sebelum ini mencadangkan Rafizi membentuk gabungan baru dengan bekas pemimpin Umno Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin, bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan, dan pengasas Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Tetapi sukar. Siapa jadi presiden? Siapa yang akan mengalah?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen