malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi: Tak lanjut khidmat Tengku Maimun burukkan lagi polemik kehakiman
Diterbitkan:  Jun 30, 2025 3:00 PM
Dikemaskini: 7:00 AM
ADS

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mengenepikan gesaan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebagai bersifat politik semata-mata.

Sebaliknya, Rafizi berkata tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun enam bulan lagi hanya akan menambah kebimbangan bahawa kebebasan kehakiman mungkin terjejas oleh hakim yang baru dilantik ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi menyatakan selain Ketua Hakim Negara, enam lagi hakim kanan juga akan bersara dalam tempoh enam bulan akan datang - mengosongkan empat jawatan penting dalam badan kehakiman, termasuk jawatan presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya serta Sabah dan Sarawak.

"Dengan kekosongan lebih separuh dari hakim-hakim kanan di Mahkamah Persekutuan, timbul persoalan adakah pelantikan terus itu adalah sebahagian dari perancangan untuk melangkau senarai kekananan hakim-hakim sedia ada dan mengubah kepimpinan institusi kehakiman untuk tempoh lapan tahun akan datang, memandangkan beliau hanya akan bersara wajib pada tahun 2033?" katanya.

Walaupun Rafizi tidak menyebut nama, dia dipercayai merujuk kepada Ahmad Terrirudin Salleh, yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan November lalu sehari selepas bersara sebagai peguam negara.

Terdapat spekulasi sejak sebelum pelantikan Terrirudin sebagai hakim, bahawa terdapat rancangan untuk mengangkatnya ke jawatan Hakim Besar Malaya - yang merupakan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman.

Hakim Besar Malaya sekarang, Hasnah Mohammed Hashim akan bersara pada 14 Nov. Dia telah menerima pelanjutan tempoh enam bulan pada Mac.

Rafizi berkata kebimbangan mengenai badan kehakiman hanya diburukkan lagi dengan persepsi "double standard" dalam pelantikan lain.

“Apabila perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilanjutkan tiga kali berturut-turut dan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan tidak dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru, sudah tentu pelbagai desas-desus akan menjadi lebih kuat," katanya

Selain isu yang dipetik oleh Rafizi, terdapat juga skandal baru-baru ini berhubung dakwaan seorang hakim kanan disoal oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berhubung kemungkinan campur tangan dalam hal ehwal kehakiman.

Tengku Maimun dijangka bersara pada hari Rabu melainkan tempoh perkhidmatannya dilanjutkan selama enam bulan seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Anwar menolak gesaan supaya tempoh perkhidmatannya dilanjutkan sebagai percubaan untuk mempolitikkan badan kehakiman.

Selain Tengku Maimun, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim juga akan bersara pada Khamis ini.

Persaraan mereka akan disusuli pada bulan-bulan berikutnya oleh Hasnah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebili, dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Zabariah Mohd Yusof, dan Hanipah Farikullah.

Rahman, Zabariah, dan Hanipah telah pun dilanjutkan tempoh mereka selama enam bulan.

Mengulas mengenai perkara itu, Rafizi berkata adalah munasabah untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dan Abang Iskandar sama seperti yang diberikan kepada hakim-hakim lain yang akan bersara.

"Ia bukan bersifat politik, atau ingin mempolitikkan lantikan hakim (yang ada prosesnya sendiri). Ia adalah satu perkara munasabah mengambil kira keadaan semasa, yang mana kekosongan lebih separuh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan akan memperlahankan perjalanan kes-kes mahkamah,” katanya.

Ahli parlimen Pandan itu mengakhiri kenyataannya dengan menggesa PKR dan Pakatan Harapan untuk menegakkan cita-cita mereka dalam mempertahankan kebebasan kehakiman atau berisiko mendapat kecaman orang ramai.

"Adalah sangat malang sekiranya satu hari nanti, PKR dan Pakatan Harapan dituduh melemahkan kebebasan institusi kehakiman, lalu mewujudkan satu kumpulan anak muda baru yang bertekad melawan PKR dan Pakatan Harapan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen