malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kemelut peralihan ketua hakim jejas keyakinan awam - Badan Peguam
Diterbitkan:  Jun 30, 2025 12:39 PM
Dikemaskini: 4:41 AM
ADS

Badan Peguam Malaysia berpandangan kegagalan kerajaan untuk menjelaskan hala tuju peralihan tampuk kepimpinan tertinggi badan kehakiman negara hanya sehari sebelum Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mencapai umur persaraan wajib bagi hakim, 66, esok, 1 Julai merupakan suatu kecuaian institusi yang membimbangkan.

Dalam satu kenyataan, presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab, menyifatkan keadaan itu sebagai tidak dapat dipertahankan dan berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman.

Mohamad Ezri Abdul Wahab

“Kedudukan Ketua Hakim Negara bukan sekadar simbolik — ia teras kepada integriti, kebebasan dan kelangsungan sistem kehakiman keseluruhan.

“Membiarkan jawatan itu dalam keadaan tidak menentu begitu hampir dengan tarikh persaraan mencerminkan kegagalan dalam tanggungjawab institusi. Ini bukan sekadar kecuaian pentadbiran — ia merupakan kegagalan tadbir urus yang boleh membuka ruang kepada spekulasi, khabar angin, dan keraguan terhadap sistem perundangan negara,” katanya.

Badan Peguam Malaysia turut menzahirkan kebimbangan terhadap ketiadaan sebarang pengumuman rasmi berkenaan pengganti atau lanjutan tempoh jawatan ketua hakim negara walaupun tempoh persaraan Tengku Maimun tinggal kurang daripada 24 jam.

Mohamad Ezri menegaskan bahawa Badan Peguam Malaysia tidak pernah melobi atau menyokong mana-mana individu untuk dilantik atau disambung perkhidmatannya.

Namun, menurutnya, “kita perlu bersuara apabila keheningan institusi mula mengancam kebebasan kehakiman.”

Isu ini bukan soal individu, tetapi soal prinsip – iaitu keperluan mendesak kepada ketelusan, kepimpinan yang jelas, dan tindakan yang segera bagi menjamin kelangsungan demokrasi berperlembagaan.

Hari terakhir perkhidmatan Tengku Maimun, 66, sebagai ketua hakim negara adalah pada Selasa ini dan mencapai usia persaraan wajib pada Rabu ini.

Selain Tengku Maimun, Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim juga dijadual bersara apabila mencapai umur persaraan wajib pada Rabu ini.

Turut dijadual bersara tahun ini adalah empat Hakim Mahkamah Persekutuan. Mereka adalah Zabariah Mohd Yusof, Abdul Karim Abdul Jalil, Hanipah Farikullah dan Nallini Pathmanathan

Mengulas lanjut, Mohamad Ezri berkata, negara ini pernah mempunyai contoh terdahulu dalam mengurus peralihan kepimpinan kehakiman dengan baik, termasuk pelantikan pemangku apabila diperlukan. Namun, situasi kali ini disifatkan sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini”, memandangkan sehingga saat akhir, masih tiada sebarang makluman rasmi daripada pihak berwajib.

“Kekosongan pada hierarki tertinggi badan kehakiman adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan berbahaya.

“Dalam kekaburan ini, rakyat mula membuat andaian, keyakinan mulai goyah, dan oang ramai mula membuat spekulasi. Khabar angin berleluasa, keyakinan semakin terhakis.

“Semua ini sepatutnya tidak dibiarkan berlaku — namun, semuanya boleh dielakkan dengan tindakan yang tepat pada masanya,” katanya.

Presiden Badan Peguam itu turut merujuk kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan wujudnya usaha melobi sambungan perkhidmatan ketua hakim negara dan keperluan mengelak politisasi institusi kehakiman.

Menurutnya, Badan Peguam menyokong sepenuhnya prinsip bahawa pelantikan kehakiman mesti bebas daripada tekanan luar dan amalan lobi. Namun, dia mengingatkan agar jangan sesekali menyamakan keprihatinan institusi terhadap kelangsungan sistem dengan cubaan mempolitikkan proses perlantikan.

“Terdapat perbezaan jelas antara menyokong atau membantah individu tertentu dengan menyuarakan kegagalan sistemik yang boleh menghakis keyakinan terhadap kedaulatan undang-undang,” katanya.

Mohamad Ezri mengakhiri kenyataan itu dengan penegasan bahawa kebebasan kehakiman bukan sekadar idealisme yang disebut dalam ucapan rasmi. Ia harus dilindungi melalui tindakan dan keputusan yang membina kepercayaan, bukan mencetuskan keraguan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen