malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ini ujian Allah - Sanusi umum bantuan banjir Kedah
Diterbitkan:  Sep 19, 2024 5:18 PM
Dikemaskini: 10:09 AM
ADS

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan setiap ketua isi rumah yang terjejas bencana banjir dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu akan diberikan bantuan sebanyak RM2,000.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM1,000 akan disalurkan segera oleh Kerajaan Kedah melalui bantuan awal Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) kepada setiap KIR yang berpindah ke PPS.

"Ini adalah ujian daripada Allah SWT, banyakkan berdoa supaya keadaan tidak lebih mudarat dan dipermudahkan urusan bagi kita semua," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sanusi juga berkata kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.

“Anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan.

“PKOB Negeri dan PKOB Daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan dari masa ke masa,” katanya.

Sanusi menasihatkan penduduk terjejas banjir agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa, jika diarahkan berpindah ke PPS.

Menurutnya penyelarasan bantuan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terbabit.

"Ibu bapa terutamanya awasilah anak-anak anda bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa," kata Sanusi.

Setakat pukul 3 petang ini, 3,904 mangsa melibatkan 1,158 keluarga terjejas akibat banjir di tujuh daerah di Kedah melibatkan Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Kubang Pasu, Bandar Baharu, Kulim dan Kuala Muda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen