malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan pertimbang MRSM tambahan untuk anak tentera - Zahid
ADS

PRK MAHKOTA | Kerajaan sedang mempertimbangkan menambah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khusus untuk anak-anak anggota tentera, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Jelas Zahid, perbincangan akan diadakan dengan Kementerian Pertahanan untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk MRSM baru atau sama ada salah satu daripada empat kampus MRSM yang masih belum beroperasi boleh digunakan sebaliknya.

“ Terdapat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang didedikasikan untuk anak-anak pegawai dan anggota angkatan tentera Malaysia.

"Tetapi saya berazam, bukan hanya sesuatu yang akan berlaku di luar Mahkota ini, saya berazam, satu tambahan MRSM," katanya ketika berucap semasa lawatan kerjanya ke Kem Mahkota, salah satu kem tentera terbesar di Johor.

Dianggarkan terdapat lebih 3,000 pengundi Mahkota di kem tersebut.

Setakat ini hanya ada satu MRSM untuk anak-anak anggota tentera iaitu MRSM Terendak yang terletak di Melaka.

Zahid juga berkata, dia telah mengarahkan kesemua 57 MRSM di seluruh negara mengarahkan pelajar dari Tingkatan Satu ke atas untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, yang hadir, menyorot program pembelajaran berasaskan kerja untuk anggota tentera yang diumumkannya baru-baru ini.

“Kementerian Pertahanan telah merangka dan merancang supaya mereka yang mempunyai SPM, tetapi berasaskan kepada khidmat mereka, kemahiran dan pengalaman yang didapati sepanjang menjadi anggota tentera, sekurang-kurangnya mereka akan keluar dengan memiliki diploma," katanya dalam ucapannya.

Sebagai contoh, kata Khaled, seorang tukang masak akan menerima diploma dalam bidang kulinari.

Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah bersetuju menawarkan 10 program akademik kepada anggota tentera, tambahnya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa diploma itu akan diberikan kepada mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun.

Khaled mengumumkan program itu empat hari lalu, mendedahkan bahawa ia adalah sebahagian daripada usaha memastikan anggota tentera terus terlibat dalam pembinaan negara selepas bersara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen