malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Universiti perlu terima pelajar miskin, tangguhkan yuran
Diterbitkan:  Sep 19, 2024 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM
ADS

Semua pentadbir universiti awam perlu menerima masuk pelajar kurang berkemampuan yang mendapat tawaran termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata pihak universiti juga perlu menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata ia penting bagi mengelakkan berlakunya keadaan mahasiswa yang berpotensi untuk berjaya tidak dapat meneruskan pengajian di universiti.

"Saya tidak mahu mendengar kisah mereka yang berjaya (tetapi) tidak dapat masuk universiti. Saya masih ingat saya juga daripada latar belakang itu. Saya tahu tentang kesusahan itu jadi saya tak mahu itu dijadikan alasan untuk adik-adik semua tidak mahu masuk ke universiti.

"Saya telah mengarahkan pihak universiti supaya ambil (mahasiswa), pihak universiti akan menerima saudara-saudari terlebih dahulu dan selepas itu kita akan susun melalui PTPTN dan sebagainya,” katanya dalam satu video bersama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dimuat naik di Facebook.

Selain itu, Zambry berkata satu daripada inisiatif yang dilaksanakan PTPTN ketika ini memberikan wang pendahuluan bagi membolehkan pelajar mendaftarkan diri di universiti-universiti yang berkenaan.

Dalam klip video berdurasi satu minit 59 saat itu, Asyraf Wajdi turut menjadikan Zambry sebagai contoh bagaimana menerusi ilmu sahaja seseorang itu boleh mengubah kehidupannya.

"Contoh paling jelas di depan mata, (Zambry) anak seorang nelayan di Pulau Pangkor hari ini berjaya dengan cemerlang … belajar di universiti di Amerika Syarikat, kumpulan pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), akhirnya menjadi menteri.

“Jadi yang paling penting, teruskan perjuangan untuk menimba ilmu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen