malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Semantan Estate: Rundingan masih berjalan, rayuan kerajaan didengar 7 Nov
Diterbitkan:  Sep 19, 2024 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM
ADS

Rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan pemindahan hak milik 263.272 ekar (106.542 hektar) tanah di Mukim Batu, di ibu negara kepada Semantan Estate Sdn Bhd, di Mahkamah Rayuan hari ini ditangguhkan ke 7 Nov.

Penangguhan itu dibenarkan oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lee Swee Seng berikutan permohonan Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan yang memberitahu mahkamah bahawa rundingan berkaitan kes itu masih berjalan.

“Kerajaan memohon untuk menangguhkan prosiding hari ini. Rundingan sedang giat dijalankan tetapi saya tidak boleh mendedahkannya. Oleh itu, saya mohon prosiding hari ini ditangguhkan,” kata Shamsul.

Bagaimanapun, peguam Datuk Dr Cyrus Das, yang mewakili Semantan Estate, memohon supaya berlaku adil, dengan menyatakan bahawa kes itu perlu diteruskan bulan depan setelah penangguhan 15 tahun sejak perintah mahkamah asal pada 2009.

Mahkamah membenarkan penangguhan itu dan menetapkan 7 Nov untuk mendengar dua permohonan iaitu perintah mandamus yang difailkan oleh Semantan Estate dan rayuan kerajaan terhadap perintah pemindahan 7 Ogos yang dikeluarkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

“Sementara itu, anda (peguam dan SFC) berbincang antara satu sama lain untuk menyelesaikan masalah itu,” kata hakim Lee, yang bersidang bersama hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azimah Omar dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Tanah yang dipertikaikan itu terletak di kawasan utama Jalan Duta yang menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada 7 Ogos lepas, hakim Ahmad Shahrir memerintahkan kerajaan memindahkan hak milik tanah itu kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mahkamah juga mengarahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan supaya memenuhi syarat-syarat yang diperlukan dalam tempoh tiga bulan, mendaftarkan Semantan Estate sebagai pemilik tanah, memuktamadkan semua dokumentasi pemindahan dan mengeluarkan hak milik tanah tanpa sebarang bebanan atau liabiliti.

Berikutan itu, kerajaan memfailkan rayuan pada 8 Ogos, dan pada 12 Sept, berjaya memperoleh penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Rayuan.

Kes itu bermula pada 2003 apabila Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil alih tanah itu secara tidak sah, dan rayuan berikutnya oleh kerajaan telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 2012 dan 2018.

Semantan Estate memulakan tuntutan terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009, manakala kerajaan mencadangkan penyelesaian kepada pertikaian tanah yang sedang berjalan.

Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.

Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen