malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
SURAT | Kenyataan perlekeh sahabat nabi mesti dikecam
ADS

SURAT | Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah memandang serius penularan klip video Ahli Parlimen Pasir Puteh merangkap pimpinan ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengeluarkan ungkapan amat tidak wajar terhadap sahabat besar Rasulullah SAW, khususnya Sayidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab.

Sekiranya benar ungkapan tersebut diucapkan sebagaimana yang tular, maka ia bukan kesilapan biasa. Ia adalah kecuaian besar dalam disiplin ilmu, adab dakwah dan amanah menyampaikan sejarah Islam kepada masyarakat.

Para sahabat Nabi SAW bukan bahan retorik politik. Mereka bukan watak ceramah yang boleh digambarkan secara hina tanpa sandaran riwayat yang sahih, tanpa adab, dan tanpa rasa takut kepada Allah SWT.

Abu Bakar ialah sahabat Rasulullah paling utama, pembela baginda, lelaki pertama beriman daripada kalangan dewasa, penyumbang besar kepada dakwah Islam, dan khalifah pertama umat ini.

Umar pula ialah al-Faruq, tokoh keadilan, keberanian dan pentadbiran Islam yang menjadi rujukan umat hingga hari ini.

Mencemarkan nama mereka dengan gambaran keji tanpa sandaran ilmiah yang jelas adalah perbuatan yang wajib ditegur oleh seluruh umat Islam. Rasulullah telah memberi amaran yang sangat jelas: “Janganlah kamu mencaci para sahabatku.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Maka, bagaimana mungkin seorang yang membawa gelaran agama boleh menggunakan ungkapan yang merendahkan sahabat nabi sedangkan lidah seorang pendakwah sepatutnya mempertahankan kemuliaan mereka?

Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah dengan ini menegaskan:

Pertama, kami mengecam sekeras-kerasnya apa jua bentuk ucapan, dakwaan atau penceritaan yang menghina, merendahkan atau mencemarkan kemuliaan para sahabat Rasulullah, sama ada dilakukan oleh orang biasa, penceramah, ahli politik, mahupun tokoh yang memakai gelaran ulama.

Kedua, kami mendesak Nik Zawawi memberikan penjelasan terbuka, menarik balik kenyataan yang mengelirukan, serta memohon maaf kepada umat Islam sekiranya benar ungkapan tersebut telah diucapkan. Isu ini tidak boleh disapu di bawah karpet dengan alasan “salah faham” atau “dipetik di luar konteks” tanpa penjelasan ilmiah yang jujur.

Ketiga, kami mendesak PAS menyatakan pendirian rasmi. Adakah PAS menerima naratif yang menggambarkan sahabat nabi dengan gambaran buruk seperti itu?

Adakah ini sebahagian daripada kefahaman yang sedang dibawa dalam ceramah-ceramah politik agama PAS?


Baca Nik Zawawi: Bukan hina sahabat tapi fakta zaman jahiliah

Baca Nik Zawawi akhirnya akur, mohon maaf lepas ditekan


Jika tidak, PAS mesti berani menegur pemimpinnya sendiri, bukan hanya lantang menghukum pihak lain apabila kesalahan datang daripada lawan politik.

Keempat, kami menyeru pihak berautoriti agama meneliti ucapan tersebut dari sudut akidah, adab terhadap sahabat, serta ketulenan sumber sejarah yang digunakan.

Umat Islam tidak boleh dibiarkan menerima kisah-kisah sensasi yang merosakkan penghormatan terhadap generasi terbaik umat ini.

Kelima, kami mengingatkan masyarakat bahawa antara ciri besar ajaran menyeleweng ialah sikap merendahkan para sahabat nabi, khususnya Abu Bakar dan Umar.

Justeru, apabila naratif sebegini muncul di mana-mana pentas politik atau agama, umat Islam wajib berhati-hati. Jangan sampai atas nama ceramah politik, masyarakat Melayu Islam disuap dengan naratif yang selama ini dekat dengan pemikiran antisahabat.

Amanah berpendirian bahawa mempertahankan Islam bukan hanya melaungkan slogan. Islam mesti dipertahankan dengan ilmu, adab, amanah dan akhlak.

Parti yang mendakwa membawa Islam mesti lebih dahulu menunjukkan ketinggian adab terhadap Rasulullah, keluarga dan para sahabat baginda.

Justeru, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, agar mengecam ucapan yang merendahkan sahabat nabi itu secara tegas, beradab dan bertanggungjawab.

Kecaman ini bukan kerana perbezaan parti. Kecaman ini kerana maruah sahabat nabi wajib dipertahankan. Politik boleh berbeza, parti boleh berlainan. Tetapi kemuliaan Abu Bakar dan Umar tidak boleh dijadikan bahan cerita murahan.

Islam tidak akan mulia dengan fitnah. Dakwah tidak akan kuat dengan penghinaan. Politik tidak akan berkat apabila nama sahabat dijadikan bahan untuk menarik sorakan penyokong.

Pertahankan sahabat Nabi Muhammad. Tolak naratif antisahabat. Hentikan politik agama yang mencemarkan kemuliaan Islam.


Kenyataan ini dikeluarkan oleh ATRIZA UMAR sebagai Ketua Penerangan dan Komunikasi Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen