KOLUM | Ada apa dengan api?
Dalam banyak peradaban dan kepercayaan, api sering disifatkan sebagai unsur yang menakutkan - lambang kemarahan, kemusnahan dan seksaan.
Api boleh menjilat, membara dan membakar tanpa kompromi.
Tapi kita sering lupa, api itu unsur yang punya dua wajah.
Ia membakar, tetapi api juga elemen yang menghangatkan. Ia menghancurkan, tetapi boleh menghidupkan semangat.
Ia boleh menjadi alat kezaliman, tetapi boleh juga menjadi senjata untuk melawan penindasan dan mencetuskan kesedaran.
Api mendidik manusia tentang keseimbangan. Api yang terkawal memberi cahaya, tapi apabila terlepas, ia menjadi bencana. Dalam erti kata lain, api mengajar manusia tentang kuasa dan tanggungjawab.
Imam Al-Ghazali dalam kitab agungnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din, menjelaskan setiap ciptaan tidak wujud melainkan dengan ukuran, keadilan dan hikmah - menandakan betapa alam ini ditadbir berlandaskan keseimbangan.
Lambang semangat perjuangan
Kita sering lupa bahawa di sebalik bara dan asap, api juga mencetus harapan. Dalam sejarah Islam, wahyu kepada Nabi Musa AS di Bukit Tursina bermula dengan api - cahaya yang menandakan misi menentang kezaliman Firaun.
Dalam sejarah ketamadunan manusia, api adalah antara penemuan terpenting. Ia digunakan untuk berlindung daripada bahaya, memasak, melawan kedinginan, menempa besi, mencipta alatan, menghasilkan senjata, membentuk tembikar, membina rumah sehinggalah membangun sebuah kota.
Daripada nyalaan api yang kecil di gua prasejarah, berkembanglah pelbagai empayar besar dengan teknologi berasaskan api – dari Mesir Purba, Mesopotamia, India hingga ke China.
Api membuka pintu kepada ilmu, seni, falsafah dan industri.
Dalam dunia sukan juga, api diberi makna yang begitu besar. Temasya Sukan Olimpik dimulakan dengan penyalaan obor yang dibawa merentas benua - satu ritual yang melambangkan kesinambungan, semangat perjuangan dan keazaman.

Dalam konteks sosial dan politik, api sering muncul saat rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem. Ia bukan pilihan pertama, tetapi biasanya ia menjadi pilihan terakhir.
Apabila rakyat tidak lagi punya ruang untuk bersuara, ketika undang-undang membisu dan demokrasi terbungkam, api boleh menjadi bahasa yang tegas.
Ia bukan semata-mata mahu membakar objek, tapi menyalakan amaran bahawa had kesabaran telah sampai ke penghujungnya.
Sejarah Melayu sarat dengan keberanian dan kebangkitan rakyat yang memilih bara api sebagai bahasa perlawanan.
Daripada nyala api kecil yang tenang, lahir obor yang membakar semangat dan mengubah zaman. Menjadi simbolik kepada elemen pengorbanan, kekuatan dan keberanian.
Membakar untuk merdeka
Dato' Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau memimpin kebangkitan rakyat di Pahang menentang British dengan membakar balai polis di Lubuk Terua dan Temerloh.
Tok Janggut pernah memimpin penentangan terhadap cukai British di Kelantan. Balai-balai polis dan kemudahan pentadbiran kolonial dibakar di Pasir Puteh sebagai protes terhadap kekuasaan yang mencengkam kehidupan petani.
Di Sarawak pula, Rentap memimpin penentangan terhadap James Brooke dengan membakar kubu-kubu musuh sebagai tanda bahawa tanah adat tidak boleh dijajah.
Api itu bukan sekadar membakar bangunan, tetapi membakar lambang penindasan. Bukan sebagai aksi ganas tanpa hala, tetapi sebagai simbol perjuangan yang menyala dari bawah. Bukti bahawa rakyat tidak tunduk pada kezaliman.
Jauh sebelum itu dalam sejarah dunia, rakyat biasa telah menggunakan api untuk menolak sistem yang menindas. Dalam Peasants’ Revolt di England pada 1381, petani miskin membakar rekod tuan tanah dan dokumen cukai - kerana untuk memerdekakan diri, mereka harus membakar bukti perhambaan.

Masuk ke zaman moden, api terus menjadi simbol kemuncak protes rakyat. Mohamed Bouazizi di Tunisia membakar dirinya pada 17 Dis 2010 sebagai tanda putus asa setelah ditindas oleh penguat kuasa.
Tindakannya mencetuskan gelombang Arab Spring, menjatuhkan rejim Ben Ali dan menggoncang rantau Timur Tengah.
Dalam konteks Malaysia, rusuhan 13 Mei 1969 menyaksikan api kemarahan bukan sekadar membakar emosi. Di jalanan Kuala Lumpur, rumah-rumah kedai dan kenderaan dijilat api. Lebih 700 insiden pembakaran dalam tempoh beberapa hari.
Asap menjulang dari Kampung Baru hingga ke Jalan Raja Laut, mencemar langit kota yang selama ini dihias slogan perpaduan. Rusuhan itu bukan hanya pergaduhan antara kaum, tetapi letusan akibat ketidakadilan sosioekonomi yang lama terpendam.
Api zaman dulu menyala semula
Tidak lama kemudian, seorang aktivis mahasiswa bernama Anwar Ibrahim - ketika itu Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya - juga memilih api untuk membakar buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas tulisan Tunku Abdul Rahman sebagai tanda penolakan terhadap naratif rasmi kerajaan.
Ia bukan sekadar aksi simbolik. Ia suatu penentangan intelektual terhadap dominasi naratif oleh golongan berkuasa. Bagi Anwar dan kumpulan mahasiswa pimpinannya, nyalaan api itu tidak membakar buku semata-mata, tetapi membakar citra sejarah yang dilihat menutup luka sebenar rakyat.
Lima dekad berlalu, sejarah seakan berulang. Pada 2025, mahasiswa Universiti Malaysia Sabah bertindak membakar karikatur Anwar yang kini menjadi perdana menteri.
Ironinya, hari ini tindakan itu dikecam hebat oleh penyokong Anwar sendiri.

Jika dahulu api dianggap lambang keberanian, kini api dilabel simbol kebiadaban. Aksi membakar yang dahulu diraikan sebagai simbol keberanian melawan sistem, hari ini dihentam sebagai tindakan keterlaluan - hanya kerana sasarannya kini di puncak kekuasaan.
Sejarah, jika dibaca dengan jujur, mengajar kita bahawa semangat mahasiswa bukan ditentukan oleh siapa yang berkuasa, tetapi apa yang diperjuangkan.
Api yang dinyalakan oleh Anwar 56 tahun lalu, hari ini dinyalakan semula, mengingatkan bahawa bara perjuangan itu tidak pernah padam.
Api bukan semata-mata membakar objek. Ia membakar makna - iaitu makna ketidakadilan, makna pengkhianatan, makna penguasaan yang melampau.

Aksi membakar adalah nyalaan kesedaran, bahasa paling radikal apabila semua saluran lain disumbat.
Dunia telah menyaksikan bahawa setiap kali rakyat membakar, mereka tidak bermaksud menghancurkan negara. Mereka membakar sistem korup yang terlalu lama merosakkan masyarakat secara senyap.
Soalnya bukan mengapa mereka membakar, tetapi mengapa mereka perlu sampai ke tahap itu untuk didengar. Apabila suara rakyat dibisukan, api akan bercakap.
Daripada bara itulah lahir semula kesedaran sebuah bangsa.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.